Lailatul Qadar: Tafsir & Maksud

Alhamdulillah kita sudah sampai pada 10 malam terakhir bulan Ramadan tahun ini. Pada 10 malam terakhir ini terdapat satu malam yang dinamakan malam Lailatul Qadar yang mana ia merupakan malam yang lebih baik daripada seribu bulan. Untuk ketahui lebih lanjut, ayuh kita pelajari makna dan kebaikan yang terdapat dalam malam ini.

Tafsir Lailatul Qadar

Perkataan Lailatul Qadar adalah daripada dua kalimah, Lailah QadarLailah  membawa maksud malam, dimana waktu apabila terbenamnya matahari sehingga terbitnya fajar. Manakala, Qadar pula memberi maksud kemuliaan atau ketetapan dan hukum. [1]


إِنَّا أَنزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ (1) وَمَا أَدْرَاكَ مَا لَيْلَةُ الْقَدْرِ (2) لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ

Maksudnya: “Sesungguhnya kami telah menurunkannya (al-Quran) pada malam kemuliaan. Dan tahukah kamu apakah malam kemuliaan itu? Malam kemuliaan itu lebih baik daripada seribu bulan.”[2]


Para Ulama mempunyai berbeza pendapat apabila perkataan Qadar disandarkan pada perkataan malam, Lailah.

  1. Ibn Qudamah berpendapat malam al-Qadar ialah malam yang mulia, diberkati, diagungkan dan mempunyai banyak kelebihan.[3]
  2. Ibn al-Jauzi mengemukakan 5 pendapat berkenaan dengan nama malam qadar itu:
    1. Dengan maksud agung. Inilah pendapat al-Zuhri.
    2. Dengan makna sempit kerana dunia pada malam tersebut menjadi sempit dengan ramainya malaikat yang turun. Inilah pendapat al-Khalil bin Ahmad.
    3. Dengan makna hukum atau keputusan kerana pada malam tersebut semua urusan ditentukan oleh Allah SWT. Inilah pendapat Ibn Qutaibah.
    4. Kerana siapa yang tidak mempunyai kemuliaan akan mendapat kemuliaan dengan melakukan ibadat pada malam tersebut. Inilah pendapat Abu Bakar al-Warraq.
    5. Kerana diturunkan pada malam tersebut kitab yang mempunyai kemuliaan di samping rahmat dan malaikat juga turun pada malam tersebut. Inilah pendapat Ali bin Ubaidillah.[4]

Anda mahukan pahala yang berganda?

Ayuh Berinfaq kepada pembinaan Kompleks Pendidikan Islam Surau Al-Mujahidin.

Imam al-Nawawi menyatakan, para ashab kami — yakni ulama dalam kalangan mazhab Syafi‘i — dan selain mereka menyebutkan bahawa ia merupakan sebaik-baik malam dalam setahun. Ayat “لَيْلَةُ الْقَدْرِ خَيْرٌ مِّنْ أَلْفِ شَهْرٍ” bermaksud malam itu lebih daripada seribu bulan yang tiada di dalamnya lailatul qadar. Selain itu, lailatul qadar ini juga adalah khusus buat umat ini, yang Allah SWT tambahkan kemuliaan kepada mereka, yang tidak ada pada umat sebelumnya.[4]

Terdapat beberapa lagi pendapat para ulama dalam menentukan makna malam al-Qadar.[5] Di antaranya:

  • Malam tersebut Allah SWT menetapkan ajal manusia dan rezeki manusia serta qadar Allah SWT sama ada baik atau buruk sebagaimana disebutkan oleh al-Baghawi di dalam tafsirnya.[6]
  • Malam al-Qadar diambil namanya disebabkan oleh kedudukannya, kemuliannya dan kebesarannya. Maka, oleh sebab itu, sekiranya ingin memuji seseorang boleh dipanggil dengan “ذو قدر” iaitu orang yang mempunyai kedudukan dan kemuliaan. Sesungguhnya amalan soleh dan ketaatan kepada Allah SWT pada malam tersebut mendapat ganjaran yang cukup besar serta kedudukan yang cukup mulia. Hal ini kerana malam tersebut ditaqdirkan Allah SWT bahawa al-Quran diturunkan.[7]
  • Al-Hafiz Ibn Hajar ada menukilkan pendapat, ia dinamakan sedemikian kerana keagungannya seperti mana firman Allah SWT:

وَمَا قَدَرُوا اللَّهَ حَقَّ قَدْرِهِ

Maksudnya: “Dan mereka (yang musyrik) tidak menghormati Allah dengan penghormatan yang sewajibnya diberikan kepada-Nya.”[8]

Maknanya, ia merupakan malam yang mengandungi kedudukan kerana diturunkan al-Quran di dalamnya, atau disebabkan oleh turunnya malaikat pada malam tersebut, atau kerana keberkatan, rahmat dan keampunan yang turun pada malam itu, atau juga kerana orang yang menghidupkan malam tersebut mendapat kedudukan.[9]

  • Dinamakannya sebagai malam al-Qadar kerana ia merupakan malam penentu (pemutus) dan penghukum. Al-Hafiz Ibn Hajar al-‘Asqalani menukilkan bahawa Imam al-Nawawi berpendapat, dinamakan sebagai malam al-Qadar disebabkan oleh pada malam itu para malaikat menulis takdir-takdir (qadar) manusia, berdasarkan firman Allah SWT:

فِيهَا يُفْرَقُ كُلُّ أَمْرٍ حَكِيمٍ

Maksudnya: “Pada malam tersebut, dijelaskan setiap perkara yang mengandungi hikmat ketetapan takdir.[10]

Hal ini juga adalah sebagaimana diriwayatkan oleh ‘Abd al-Razzaq dan selainnya daripada kalangan ahli tafsir dengan sanad-sanad yang sahih daripada Mujahid, ‘Ikrimah, Qatadah dan lain-lain.[11] Selain itu, Imam al-Nawawi menyatakan dalam kitabnya, inilah pendapat yang sahih lagi masyhur sebagaimana yang disebutkan oleh al-Mawardi, Ibn al-Sabbagh dan lain-lain. Para ashab kami menyebutkan, kesemua mereka iaitu yang dijelaskan pada malam tersebut setiap perkara yang mengandungi hikmat ketetapan takdir. Inilah pendapat yang tepat dan dipegang oleh jumhur ulama.[12]

Kesimpulan

Berdasarkan kepada perbahasan dan perbincangan di atas, kami berpendapat bahawa malam al-Qadar atau lailatul qadar dinamakan sedemikian kerana pada malam tersebut ditentukan dan diputuskan takdir (qadar) setiap insan. Ini juga merupakan pendapat yang disahihkan oleh Imam al-Nawawi dan dipegang oleh jumhur ulama.

Walau bagaimanapun, tidak dapat dinafikan bahawa malam al-Qadar atau lailatul qadar merupakan malam yang mulia dan agung, serta di dalamnya mengandungi pelbagai kelebihan seperti diturunkan rahmat, keampunan dan keberkatan, merupakan malam yang lebih baik daripada seribu bulan, malam yang diturunkan al-Quran dan lain-lain. Justeru, janganlah sesekali kita mensia-siankannya dan berusahalah untuk mencarinya.

Semoga Allah SWT mengurniakan kepada kita rezeki untuk bertemu dengan lailatul qadar, dan seterusnya menjadikan kita termasuk dalam kalangan hamba-hamba-Nya yang diberikan kemuliaan dan kedudukan yang terpuji sebagaimana kedudukan malam al-Qadar. Ameen.[13]

Wallahua‘lam.

Rujukan

[1] [4] Lihat BAYAN LINNAS SIRI KE-31: LAILATULQADAR…..CARILAH, Laman Sesawang Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan, #1811

[2] Surah al-Qadr:1-3

[3] Lihat al-Mughni, 3/178.

[5] [13] Lihat Maksud Malam al-Qadar (Lailatul Qadar), Laman Sesawang Maktabah Al-Bakri, #1007

[6] Lihat Tafsir al-Baghawi, 7/228.

[7] Lihat Tafsir al-‘Iz bin ‘Abd al-Salam, 3/473.

[8] Surah al-Zumar: 67

[9] Lihat Fath al-Bari, 4/255.

[10] Surah al-Dukhan: 4

[11] Lihat Fath al-Bari, 4/255.

[12] Lihat al-Majmu‘ Syarh al-Muhazzab, 6/447.

Anda mahukan pahala yang berganda?

Ayuh Berinfaq kepada pembinaan Kompleks Pendidikan Islam Surau Al-Mujahidin.

Kongsi artikel ini di: